Kira-kira sebulan lepas, aku beranikan diri berhutang menggunakan kad kredit untuk membeli kamera GoPro Hero 7 Black. Aku tergoda dek rakan sekerja yang memiliki seunit kamera berkenaan. Lebih dari itu, aku sukakan cirinya yang tahan lasak. Almaklumlah, aku ni bukannya dari jenis yang cermat.
Apabila kumula gunakan kamera berkenaan, aku mendapati skrin sesentuh prebiu di belakangnya sedikit bermasalah. Terdapat garisan-garisan putih yang memanjang mengikuti apa saja yang terang di skrin. Apabila kuajukan masalah ini pada kedai atas talian dari manaku beli kamera berkenaan (terletak di Johor Bahru - Fass Gadget - inilah kali terakhir aku akan beli apa-apa dari mereka), mereka kelihatan keberatan untuk menggantikannya semula.
Dah keluar kotak katanya.
Kalau nak claim warranty ambil masa berbulan, tambahnya lagi.
Ramai je yang pakai kamera tu dengan skrin bermasalah, video rakamannya ok je.
Nampak sangat keberatan nak ambil tanggungjawab. Kamera yang aku habiskan lebih RM2,000 untuk beli nampaknya ada masalah dan jika aku mahu masalah berkenaan diselesaikan, aku tak boleh gunakan pelaburanku itu untuk seketika.
Bila kuajukan pada ejen tunggal pengedaran kamera berkenaan, Funsportz, mereka mengatakan kedai berkenaan bukan authorised distributor mereka. Pulak dah.
Syarikat-syarikat tempatan ni memang gagal bab perkhidmatan pelanggan.
Kuajukan secara terus pada pihak GoPro dan dalam masa yang singkat, satu RMA (Return Material Authorisation - Kebenaran Menghantar Semula Barangan) diuruskan oleh pihak mereka menerusi kurier UPS ke pejabat rantau mereka di Singapura.
Kurang seminggu selepas itu aku mendapat gantinya.
Pada mulanya aku seronok dah boleh nak mula gunakan kamera berkenaan. Tetapi seperti yang pernah aku blog sebelum ini, nasibku kerap tidak baik. Pintu ruang baterinya tercabut dan tidak boleh kekal di keadaan tertutup, pada hari aku buka kotak yang sampai. Ini boleh menjejaskan kekalisan air kamera berkenaan.
Seperti sebelumnya, RMA untuk kali kedua ini diuruskan dengan cekap dan pantas oleh pihak GoPro dan satu gantian dikurierkan dari Singapura.
Beberapa hari selepas itu aku menerima panggilan dari pihak UPS di Sepang. Gantian berkenaan ditahan oleh pihak Kastam atas alasan ia merupakan alat komunikasi dan perlukan permit impot dari pihak SIRIM.
Aku rasa nak meletup ketika itu Tuhan saja yang tahu.
Panggilan demi panggilan telefon kubuat ke Kastam, tidak berangkat. Ke Sirim pun sama. Akhirnya kuutuskan email pada pihak Sirim, lengkap dengan bukti pembelian dan RMA dari pihak GoPro. Puas aku cuba jelaskan yang ia merupakan gantian dalam tempoh waranti bagi pembelian yang dibuat dalam Malaysia, dari pihak GoPro. Perempuan di SIRIM tu tetap mengatakan permit impot diperlukan. Aku katakan aku boleh faham permit impot menjadi keperluan sekiranya alat berkenaan belum pernah dibawa masuk ke Malaysia oleh siapa-siapa dan tidak pernah ditauliahkan sebelum ini. Ini dalam borang permit impot berkenaan aku dikehendaki memberi spesifikasi teknikal lengkap GoPro berkenaan. Kamera yang mereka sendiri dah tauliahkan untuk dijual di Malaysia. Ia seolah-olah pihak SIRIM akan menyiasat dan mentauliahkan satu produk baru. Kenapa perlu lalu benda yang sama kali kedua, dan oleh aku yang cuma merupakan pengguna biasa, bukan pengimpot?!
Dalam keadaan aku sakit hati kerana rasa dianiaya oleh kerenah birokrasi pihak yang tidak reti menggunakan logik akal, aku niatkan lebur sajalah GoPro berkenaan. Aku hubungi pihak UPS dan meminta mereka 'menendang' semula GoPro berkenaan ke Singapura, sekiranya ia tidak dirampas. Kalau rampas, memang aku tak halalkan.
Setakat entri ini ditulis, kamera berkenaan masih tertahan di Sepang.
Dan kerana insiden ini, dua makhluk bertuah kutendang dari mengikutiku di Twitter.
Seorang kerana dia berkata dia seronok membaca masalah-masalah yang aku hadapi. Haih, aku sangkakan mamat seekor ni boleh buat kawan. Aku silap.
Yang seorang lagi, tak pernah nak berinteraksi dengan aku selama ni selepas bertemu, tiba-tiba nak bersyarah dengan aku mengatakan ia tanggungjawab aku kerana aku mengimpot kamera berkenaan masuk ke Malaysia. Katanya Kastam tak tahu kamera berkenaan ada dihantar keluar atas urusan waranti (dan kebetulan ketika aku berdebat dengannya, pihak UPS menghantar borang C2/C8 yang mengesahkan Kastam mengetahui perkara berkenaan). Ditambahnya lagi mengatakan satu dunia pakai undang-undang begini.
Dahlah missing the point, condescending lagi. Aku tak berapa hairan sebenarnya kerana aku tahu dia tak hormatkan aku pun. Mungkin kerana aku tidak belajar luar negara. Mungkin kerana aku bukan anak orang kaya. Mungkin kerana aku tidak kacak. Apa-apalah. Dia assume aku tak faham isu logistik.
Isunya di sini bukan impot ekspot. Isunya di sini, mengapa aku disuruh melalui langkah-langkah technical re-certification produk GoPro berkenaan dengan Sirim padahal produk berkenaan sudah lama dijual dan diperakui sah untuk dijual di Malaysia? Dan import permit berkenaan bukannya percuma. Beratus RM juga kena bayar.
Faceless mindless bureaucracy at its finest. Malaysia oh Malaysia.
Jadi aku dah kerugian RM2,000.00. Serta hilang dua orang yang kusangkakan boleh buat kawan. Hai nasib, nasib.