Sunday, 29 September 2019

Semalam

Semalam
Engkau sudah sepatutnya menyambut hari lahirmu
Yang ke-38

Aku rindu
sahabat-sahabatmu yang lain tentu begitu
dan lebih-lebih lagi bapak-ibumu

Namamu tak pernah lekang dari ingatan
Kudoakan akan ada kisahmu penghabisan
Agar ada penutup pada kami yang tak keruan

Semalam
Aku gagahkan diri
bersendiri
Menjejakkan kaki ke hulu negeri
tempat yang paling dekat sekali
dengan tempat terakhirmu

Gah sekali ia menjulang
dalam langit jelas terang
selepas jerebu menghilang

Betapa indah dilihat puncak 
yang kini padaku hanyalah
nesan kuburmu yang entah di mana

Saturday, 24 August 2019

Terkenang

Ketika langit di banjaran gelap membiru
Disambut dentum guruh jauh berbatu
Aku terkenangkan kepada kamu
Walau sudah lama kau berlalu
Baik dari segi takdir, baik waktu
Corak purdah langit sebegitu
Mendatangkan satu ilusi kalbu
yang engkau setia menunggu
di satu sudut tinggi itu
untuk kami bertemu kamu
untuk kau kami bawa dari hulu
sebagai penutup kisah rindu
sebagai penyelesai misteri lalu
lebih sepuluh tahun dulu

Kuyakin kau akan pulang
Bercerita kisahmu dikayang
Memecah seribu wayang
Untuk catatan akan datang
 

Sunday, 4 August 2019

Serabut

Kira-kira sebulan lepas, aku beranikan diri berhutang menggunakan kad kredit untuk membeli kamera GoPro Hero 7 Black. Aku tergoda dek rakan sekerja yang memiliki seunit kamera berkenaan. Lebih dari itu, aku sukakan cirinya yang tahan lasak. Almaklumlah, aku ni bukannya dari jenis yang cermat.

Apabila kumula gunakan kamera berkenaan, aku mendapati skrin sesentuh prebiu di belakangnya sedikit bermasalah. Terdapat garisan-garisan putih yang memanjang mengikuti apa saja yang terang di skrin. Apabila kuajukan masalah ini pada kedai atas talian dari manaku beli kamera berkenaan (terletak di Johor Bahru - Fass Gadget - inilah kali terakhir aku akan beli apa-apa dari mereka), mereka kelihatan keberatan untuk menggantikannya semula. 

Dah keluar kotak katanya. 

Kalau nak claim warranty ambil masa berbulan, tambahnya lagi.

Ramai je yang pakai kamera tu dengan skrin bermasalah, video rakamannya ok je.

Nampak sangat keberatan nak ambil tanggungjawab. Kamera yang aku habiskan lebih RM2,000 untuk beli nampaknya ada masalah dan jika aku mahu masalah berkenaan diselesaikan, aku tak boleh gunakan pelaburanku itu untuk seketika. 

Bila kuajukan pada ejen tunggal pengedaran kamera berkenaan, Funsportz, mereka mengatakan kedai berkenaan bukan authorised distributor mereka. Pulak dah.

Syarikat-syarikat tempatan ni memang gagal bab perkhidmatan pelanggan. 

Kuajukan secara terus pada pihak GoPro dan dalam masa yang singkat, satu RMA (Return Material Authorisation - Kebenaran Menghantar Semula Barangan) diuruskan oleh pihak mereka menerusi kurier UPS ke pejabat rantau mereka di Singapura. 

Kurang seminggu selepas itu aku mendapat gantinya. 

Pada mulanya aku seronok dah boleh nak mula gunakan kamera berkenaan. Tetapi seperti yang pernah aku blog sebelum ini, nasibku kerap tidak baik. Pintu ruang baterinya tercabut dan tidak boleh kekal di keadaan tertutup, pada hari aku buka kotak yang sampai. Ini boleh menjejaskan kekalisan air kamera berkenaan. 

Seperti sebelumnya, RMA untuk kali kedua ini diuruskan dengan cekap dan pantas oleh pihak GoPro dan satu gantian dikurierkan dari Singapura.

Beberapa hari selepas itu aku menerima panggilan dari pihak UPS di Sepang. Gantian berkenaan ditahan oleh pihak Kastam atas alasan ia merupakan alat komunikasi dan perlukan permit impot dari pihak SIRIM.

Aku rasa nak meletup ketika itu Tuhan saja yang tahu.

Panggilan demi panggilan telefon kubuat ke Kastam, tidak berangkat. Ke Sirim pun sama. Akhirnya kuutuskan email pada pihak Sirim, lengkap dengan bukti pembelian dan RMA dari pihak GoPro. Puas aku cuba jelaskan yang ia merupakan gantian dalam tempoh waranti bagi pembelian yang dibuat dalam Malaysia, dari pihak GoPro. Perempuan di SIRIM tu tetap mengatakan permit impot diperlukan. Aku katakan aku boleh faham permit impot menjadi keperluan sekiranya alat berkenaan belum pernah dibawa masuk ke Malaysia oleh siapa-siapa dan tidak pernah ditauliahkan sebelum ini. Ini dalam borang permit impot berkenaan aku dikehendaki memberi spesifikasi teknikal lengkap GoPro berkenaan. Kamera yang mereka sendiri dah tauliahkan untuk dijual di Malaysia. Ia seolah-olah pihak SIRIM akan menyiasat dan mentauliahkan satu produk baru. Kenapa perlu lalu benda yang sama kali kedua, dan oleh aku yang cuma merupakan pengguna biasa, bukan pengimpot?! 

Dalam keadaan aku sakit hati kerana rasa dianiaya oleh kerenah birokrasi pihak yang tidak reti menggunakan logik akal, aku niatkan lebur sajalah GoPro berkenaan. Aku hubungi pihak UPS dan meminta mereka 'menendang' semula GoPro berkenaan ke Singapura, sekiranya ia tidak dirampas. Kalau rampas, memang aku tak halalkan.

Setakat entri ini ditulis, kamera berkenaan masih tertahan di Sepang.

Dan kerana insiden ini, dua makhluk bertuah kutendang dari mengikutiku di Twitter.

Seorang kerana dia berkata dia seronok membaca masalah-masalah yang aku hadapi. Haih, aku sangkakan mamat seekor ni boleh buat kawan. Aku silap.

Yang seorang lagi, tak pernah nak berinteraksi dengan aku selama ni selepas bertemu, tiba-tiba nak bersyarah dengan aku mengatakan ia tanggungjawab aku kerana aku mengimpot  kamera berkenaan masuk ke Malaysia. Katanya Kastam tak  tahu kamera berkenaan ada dihantar keluar atas urusan waranti (dan kebetulan ketika aku berdebat dengannya, pihak UPS menghantar borang C2/C8 yang mengesahkan Kastam mengetahui perkara berkenaan). Ditambahnya lagi mengatakan satu dunia pakai undang-undang begini.

Dahlah missing the point, condescending lagi. Aku tak berapa hairan sebenarnya kerana aku tahu dia tak hormatkan aku pun. Mungkin kerana aku tidak belajar luar negara. Mungkin kerana aku bukan anak orang kaya. Mungkin kerana aku tidak kacak. Apa-apalah. Dia assume aku tak faham isu logistik.

Isunya di sini bukan impot ekspot. Isunya di sini, mengapa aku disuruh melalui langkah-langkah technical re-certification produk GoPro berkenaan dengan Sirim padahal produk berkenaan sudah lama dijual dan diperakui sah untuk dijual di Malaysia? Dan import permit berkenaan bukannya percuma. Beratus RM juga kena bayar.

Faceless mindless bureaucracy at its finest. Malaysia oh Malaysia.

Jadi aku dah kerugian RM2,000.00. Serta hilang dua orang yang kusangkakan boleh buat kawan. Hai nasib, nasib.








Rindu

Kadangkala, dalam keadaan fikiran serabut, penat berperang dengan dunia dan ujian yang tidak sudah-sudah, alangkah seronoknya dan leganya jika ada bahu untuk disandarkan. 

Aku rindu dia sangat-sangat. 

Walaupun aku tak pernah kenal dia.

Walaupun suaranya aku tak pernah dengar.

Tapi suara hatinya masih boleh dibaca.

Dan suara hatinya itulah yang meyakinkan aku, sekiranya kami ditakdirkan dipertemukan, tentunya aku ada tempat mengadu. Yang boleh memujuk. Yang boleh melegakan hati tatkala ujian demi ujian Tuhan beri.


setiap nafas yang dihembus
setiap degupan jantung
aku selalu memikirkanmu
dalam sedar dibuai angan
dalam tidur dan khayalan
aku selalu memikirkanmu
ternyataku perlukan cinta
dari dirimu sayang
barulah terasaku bernyawa

kasihku
kuamat mencintai kamu
kerna kau beri erti hidup
kukan terus mencinta
sedetik lebih
selepas selamanya 

di kala penuh ketakutan
dengan badai kehidupan
kubersyukur adanya kamu
biarlah kehilangan
semua yang di miliki di dunia
asal masih adanya kamu

ternyataku perlukan cinta
dari dirimu sayang
barulah terasaku bernyawa
 
kasihku
kuamat mencintai kamu
kerna kau beri erti hidup
kukan terus mencinta
sedetik lebih

Sunday, 28 July 2019

Kari

Aku seorang penggemar kari. Ayah aku dulu suka masak kari yang betul-betul pekat, boleh menjilat periuk dibuatnya. Kadang-kadang, apabila kari dah habis, kami akan tabur nasi dalam periuk berkenaan, dan gaulkan nasi supaya ia sebati "menangkap" sisa-sisa akhir kari yang tinggal. Makan dengan kicap - fuh, nikmat sekali. One of the small pleasures of life.

Terdapat pelbagai bentuk kari di pasaran bagi peminat-penggemar kari seperti aku. Ada dalam bentuk pes yang mudah untuk dimasak. Ada dalam bentuk sedia dimakan. Dan tidak kurang banyak juga jenama serbuk kari bagi mereka yang gemar memasak kari dari bentuk asas. Terdapat juga dari jenis hardcore yang membeli serta membuat rempah kari sendiri. Aku takdelah sampai peringkat akhir ni, tapi aku suka bereksperimen dengan jenama-jenama serbuk kari yang ada di pasaran.

Jenama yang ayah aku dah biasakan kami sekeluarga ialah jenama Baba's. Rempahnya memang kick dan terkenal di seluruh negara bersebab. Walau bagaimanapun sejak akhir-akhir ini aku banyak mencuba jenama lain dari industri-industri desa yang terletak di negeri-negeri lain. Di sini aku berhasrat berkongsi tiga (3) jenama serbuk kari yang aku suka dan padaku, berbaloi untuk ditonjolkan untuk dicuba.




Yang pertama, dan terbest padaku, ialah serbuk kari dengan nama yang sungguh blase sekali. Cap Daun Kari. Kalau disuruh memilih hanya satu jenama kari yang boleh aku syorkan, inilah dia. Serbuk ini dibuat oleh Ihsan & Sons Food Industries S/B. Kilangnya terletak di Perak Utara (Taiping), dan pasarannya buat masa ini terhad kepada utara semenanjung.


Jenama kedua ialah jenama Mahas dari Melaka. Warnanya pun lain macam sikit, dan rasanya tidaklah terlalu pedas - sesuai untuk penggemar makanan berempah yang tidak terlalu pedas. Satu bahan yang agak pelik sedikit padaku - tak pernah aku nampak dalam kari jenama lain - ialah serbuk beras goreng. Mungkin inilah dia penyumbang warna dan rasa unik serbuk kari ini. Ia juga agak murah - sepaket 100gm dengan ekstra 30gm aku dapati dari Kedai Eco dengan harga RM2.10.













Dan yang terakhir adalah serbuk kari yang popular di kalangan orang Kelantan. Kilangnya pun terletak di Kelantan. Cap Orang Terbang. Sepaket besar mengandungi 4 paket kecil yang boleh didapati di Kedai ECO RM2.10. Yang ini rasanya boleh tahan, tapi mak aku kata ia tak berasa sangat.



Aku galakkan anda mencuba serbuk-serbuk kari ini. Manalah tahu, kena dengan citarasa. Selain dari sedap, apabila kita membeli barangan seperti serbuk kari buatan luarbandar ini, kita sebenarnya menggalakkan pertumbuhan ekonomi kawasan berkenaan, selain mengekalkan jika tidak mewujudkan peluang pekerjaan di sana. Tak perlulah mereka berhijrah jauh ke Lembah Klang misalnya, dan kemakmuran ekonomi negara sedikit sebanyak dapat diratakan taburannya ke seluruh negara...

Thursday, 25 July 2019

Nasib

Aku selalu rasa diriku ini tidak bernasib baik.

Selalu mendapat the short end of the stick, kata orang.

Semasa aku bersekolah tadika dulu, cikgu kelas kami ada memberi kami lollipop secara baling dan tangkap. Aku tak dapat satu pun, dan apabila lollipop di tangannya habis, aku seorang saja yang tak dapat apa-apa. Balik rumah aku menangis dan mengadu pada ayah ibu; penjelasan yang mereka dapat ialah kebetulan tak cukup satu lollipop pada hari berkenaan.

Selepas SPM, aku mendaftar diri untuk program A-Level di Kolej MARA Banting (KMB). Sekiranya pencapaianku baik, selepas dua tahun, aku berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara (UK). Alhamdulillah, keputusan semester 1 (dari 4) ku agak baik dan antara nama yang disebut pengetua. Seperti biasa, kusangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari (walaupun dalam keadaan cuaca panas sekarang ini, hujanlah 24 jam sehari pun, tak mengapa!). Disebabkan kegawatan ekonomi yang melanda negara pada tahun 1997, program A-Level berkenaan ditamatkan sewaktu aku baru memulakan semester 2. Aku beserta kira-kira 300 lagi overseas hopefuls dari KMB dihantar ke universiti tempatan. Maka berkuburlah impianku untuk ke UK. Malang.

Pernah terjadi satu ketika di sebuah bank yang mempunyai 5 mesin ATM, hanya dua bekerja (biasalah Malaysia, nothing ever works). Dan seperti biasa, berderet orang beratur di kedua-duanya. Aku sertai salah satu. Tiba-tiba datang seorang mamat dari mana entah, menghampiri dan menggunakan salah satu dari tiga mesin yang kononnya rosak. Eh, OK pulak dia boleh keluarkan duit. Aku pun pergilah ke mesin yang sama, dan...mesin berkenaan tak boleh pakai.

Masih lagi kisah di ATM, di sebuah bank lain pula. Transaksi pengeluaran diterima dan dalam pada mesin berkenaan berbunyi bersedia untuk mengeluarkan wang, tiba-tiba keluar pada paparan, "Windows is shutting down..." dan mesin berkenaan terus mati tanpa aku mendapat wang. Apabila kusemak di ATM lain, jumlah berkenaan sudah dipotong dari akaun. Dua minggu selepas mengadu pada bank dan membuat beberapa panggilan telefon, barulah kudapat semula wang berkenaan. Dah lah duit berkenaan merupakan perbelanjaan seminggu. Menggagau juga aku dibuatnya.

Tahun lepas pula aku dapati gaji bulananku dipotong oleh LHDN kerana jumlah PCB yang dipotong kurang dari sepatutnya, walhal menurut borang EA, aku telah membayar lebih. Rupa-rupanya majikanku silap membuat potongan tetapi menyatakan jumlah yang lebih besar di borang berkenaan. Tiga bulan gajiku menjadi kurang, dan lari jugaklah belanjawan. Semakan dengan pihak HR majikan mendapati hanya aku seorang saja jadi mangsa kesilapan berkenaan. Haish.

Dan dua minggu lepas aku menempah secara dalam talian satu unit kamera aksi GoPro. Lebih RM2,000 melayang (hutang kad plastik, hokeh). Sebaik tiba, aku mendapati skrin sesentuhnya rosak (mempunyai garisan-garisan putih yang menari). Penjual asal dari Johor Bahru itu banyak alasan cengkadaknya bila kuadukan; katanya berbulan baru boleh dapat balik, katanya defek berkenaan adalah normal. Aku membuat RMA dengan pihak GoPro secara terus dan diterima. Dua hari lepas gantian baru tiba, dan baru saja aku hendak masukkan bateri dan kad memori, kudapati pintu ruang baterinya tidak boleh ditutup dengan betul (tidak sangkut pada ruang tuil batang yang memusingkan pintu). Ini menjejaskan ketidaktelapan air peranti berkenaan. Sekali lagi aku utarakan RMA dengan pihak GoPro, dan aku sedang menantikan gantinya. Sementara itu minatku pada kamera aksi menjadi pudar. Kalau kutahu begini, baik kubeli drone saja itu hari.

Bukan senang bersangka baik dengan Tuhan dalam keadaan begini. Apatah lagi bila kerap kena, dari sebesar-besar sehingga ke sekecil-kecil ujian. Aku hanya mampu mengurut dada; lebih-lebih pun cuma membebel sendiri. Inilah sebabnya aku kelihatan seperti seorang yang suka complain - apabila kita dah selalu dan penat menjadi mangsa, takkan nak duduk diam saja kan?

Haih. Sabar saja lah.



Monday, 1 July 2019

Catatan Rindu





Aku
Tak Pernah Jatuh Cinta
Kepada Dirimu
Untuk Diriku Mengenal Hidup

Aku
Tak Pernah Jatuh Cinta
Untuk Kali Ini
Bersama Dirimu Oh Sayangku

Aku
Tak Pernah Jatuh Cinta
Buat Pertama Kali
Untukku Mengucapkan Piluku

Oh Benar Hatimu
Aku Tahu Kau Akan Disini

Begitulah bait lagu "Tak Pernah" oleh Kumpulan Volume 5 yang meruntun perasaan dan hati aku.

Lagu yang dah berbelas tahun aku tak pernah tahu kewujudannya. Volume 5 pun aku tak pernah tahu wujud. Begitu sekali.

Dan aku seperti biasa, mengaitkan seseorang dengan lagu ini . 

Seseorang yang aku rindu. 

Seseorang yang aku tak pernah menjumpainya. Seseorang yang aku rasa, sekiranya Allah pertemukan kami, kami akan connect serta-merta.

Tapi itu cumalah rasa dan telahan. Allah tidak menulis takdir kami begitu.

Hidup mesti diteruskan.

 

Sunday, 30 June 2019

Hidup

Hidup ini menurut Quran, adalah tidak lebih dari ujian dan permainan semata-mata.

Ujian yang saya seringkali gagal melaluinya.

Kadang-kadang terasa begitu sendiri melalui ujian yang diberi; seolah-olah yang lain tidak merasa apa yang saya rasa.

Acapkali saya merasa kesal dengan hidup ini. Hidup tidak serupa seperti orang lain.

Saya tidak pernah ada girlfriend. Tidak atau belum terasa mahu berumahtangga, sungguhpun hati selalu tersentuh apabila mencampuri anak-anak kecil.

Saya tidak pernah merasa nikmat mempunyai seorang sahabat rapat, dari kecil hingga besar. Tiada rakan tempat mengadu. Tiada sahabat untuk memujuk.

Saya cemburu melihat kemesraan dua sahabat. Sepatutnya di umur begini, bukan itu yang menjadi carian saya. Akan tetapi ia tetap menjadi idaman kerana ia tidak pernah saya kecapi sewaktu kecil dulu.

Alangkah bagusnya sekiranya hidup saya normal seperti orang lain!

Wednesday, 12 June 2019

Gunung

Saya seorang yang sukakan pemandangan bergunung-ganang dan amatlah bertuah di Malaysia kita mempunyai banyak tanah tinggi yang mempunyai puncak-puncak dan gunung-ganang yang hebat. Tanah tinggi yang menghijau dari kejauhan sangat menyejukkan mata memandang. 

Terdapat satu falsafah pada saya tentang minat pada pemandangan bergunung ini. 

Kita mengagumi ciptaan Tuhan yang sangat besar dan indah.

Ia juga melambangkan keluasan dunia ini serta ciptaanNya.

Ia juga sebenarnya melambangkan kemungkinan yang tidak terbatas.

Ironisnya pada saya, ia turut melambangkan hasrat mencari sesuatu di sebalik banjaran gunung yang tinggi. Satu pencarian yang sudah terlalu lama berlangsung. Yang apa kita cari selama ini, yang bakal menyelesaikan segala kekusutan hidup ini, ada di balik gunung berkenaan. Tapi jauh dalam hati saya tahu, ia sebenarnya seumpama logamaya - nampak dari jauh seperti ada sesuatu tapi sebenarnya tidak terdapat apa yang kita sangkakan itu. Sampai di puncak nanti cuma akan berjumpa dan nampak lebih banyak lagi gunung dan hutan.

Ah, ketepikanlah falsafah untuk sementara.

Saya sudah mula mengerti keseronokan dan kelegaan berada di kawasan pergunungan. Hari Raya baru-baru ini saya naik ke Tanah Tinggi Cameron. Rasa tenang di sebalik kesunyian dan kesejukan udara gunung. Rasa tak nak balik pun ada. Ada saya bikin video yang akan saya kongsikan kemudian di sini.

Di umur selewat ini juga tiba-tiba saya sudah mula berminat untuk mencuba hiking. Dah tak cukup setakat tengok gunung dari jauh saja - saya hendak berada di kemuncaknya. Mana datang inspirasi tiba-tiba ni? Entah, mungkin selepas membaca kisah kehilangan seorang hiker (Hassan Ayat) di Gunung Yong Yap (yang akan saya ulas pada ketika dan waktu lain yang sesuai) rasa saya semacam ada sesuatu pula tentang hiking ni.

Kadang-kadang rasa marah juga dengan diri sendiri mengapa sewaktu saya masa muda dulu tak cuba hiking ni, padahal minat dah ada pada gunung-ganang sejak sedari kecil. Tentu saya akan berjumpa dan punyai ramai rakan dengan minat yang sama. Kata orang, orang yang sukakan alam semulajadi seperti para hikers ni semuanya jenis berjiwa sensitif - macam saya lah kot?

Umur sekarang ni mungkin tidak terlalu lewat, tapi semputlah kot nak naik nanti. Tambahan pula, rakan-rakan sebaya semua sudah berumahtangga dan mungkin tidak berminat lagi dengan aktiviti selasak ini pada umur begini. Saya saja yang jadi anomali.  

Well, itulah kisah hidup saya. Lewat bagi segala-galanya. 

Tak ke sejuk mata tengok pemandangan sebegini?

 Gunung Yong Yap di sempadan Perak-Kelantan, seperti disaksikan dari Tanah Tinggi Lojing di Kelantan. Gunung Yong Yap ini for some reason menjadi tarikan dan perhatian pada saya. Ia masih menyimpan misteri kehilangan Hassan Ayat dan menjadi satu inspirasi dan fascination pada saya pula.
Gunung Yong Yap dengan puncak tirusnya seperti disaksikan dari Felda Lasah di Sungai Siput, Perak.

Monday, 3 June 2019

Hari Raya

Maka kini tibalah kita ke tirai Ramadhan 1440H. Hari Raya Eid Al-Fitri telah diisytiharkan jatuh pada Rabu ini 5 Jun 2019.

Bagi kebanyakan orang, ini saat gembira.

Gembira dapat pulang ke kampung berjumpa sanak saudara dan handai taulan.

Gembira dapat makan-minum setelah sebulan "sengsara" berpuasa.

Gembira dapat melaram dengan pakaian dan mungkin juga perabot rumah serba baru.

Bagi saya, hari raya cumalah penanda berakhirnya ramadhan. Seingat saya dah hampir 20 tahun begini. Mungkin kerana saya bukanlah anak kecil lagi. Apa-apalah.

Saban tahun biasanya pagi raya saya akan berkurung di rumah. Tak pergi solat raya pun. Kali terakhir seingat saya mungkin semasa berhari raya di Singapura pada tahun 2012. Itu pun tak sempat kerana jemaah melimpah sampai ke luar masjid. Lepas makan pagi (rendang ketupat sekiranya terasa rajin nak buat), saya samada akan keluar berjalan tanpa tujuan, atau duduk memerap di rumah saja. Tak ada orang datang rumah pun. Persiapan seperti kuih raya dan masakan segala bagai pun sangatlah minimal dan tidak dalam keadaan bersedia nak terima sebarang tetamu. Begitulah saban tahun.

Tahun ini, saya merancang nak berjalan ke Tanah Tinggi Cameron. Bukanlah nak melawat ladang teh atau buat perkara-perkara bersifat pelancongan lain. Mungkin saya akan berhenti di tepi jalan mengambil pemandangan gunung, melayan perasaan, dan melayan Twitter di telefon mudahalih.

Saya berharap hari raya anda lebih riang dan jauh lebih bermakna dari yang untuk saya.

Selamat Hari Raya!

Tuesday, 28 May 2019

Radio



Di zaman-zaman Internet ni, streaming lagu-lagu kegemaran melalui aplikasi seperti Joox dan Spotify menjadi pilihan ramai. Dengan keberadaan akses Internet yang murah mutakhir ini dan yuran langganan bulanan Spotify yang murah, ia menjadi pesaing serius pada media tradisional seperti radio.

Saya mempunyai langganan bulanan Spotify. Dengannya, saya mampu mendengar lagu-lagu kegemaran saya (yang tak banyak mana, dan sangat berlainan dari citarasa semasa yang mainstream atau popular) secara berulang ad nauseam sampai muntah kalau mahu. 

Tetapi sebenarnya, masih tidak ada yang mampu mengatasi perasaan keseronokan yang dialami apabila lagu kegemaran kita dimainkan di corong radio. 

Saya meminati radio sejak sedari kecil lagi. Apabila ayah saya membeli mini kompo untuk pertama kalinya di rumah, saya seoranglah yang conquer peralatan berkenaan. Balik sekolah dengar radio. Malam sebelum tidur dengar radio. Stesen radio kegemaran saya sewaktu itu ialah Radio 2 RTM (Kini Nasional FM), yang dipancarkan di Lembah Klang dari Gunung Ulu Kali menerusi frekuensi FM 95.3MHz. Waktu itu, pilihan stesen radio tidaklah sebanyak sekarang. Di Lembah Klang dan sebahagian besar negara cuma mempunyai liputan radio RTM saja. Dan waktu itu seingat saya cuma Radio 1 RTM (Kini Klasik Nasional) yang bersiaran selama 24 jam sehari. Punyalah minat mendengar radio sehingga saya hafal frekuensi radio, contohnya di Lembah Klang seperti di bawah. Kesemua frekuensi ini masih beroperasi sehingga ke hari ini:

FM 95.3MHz (Radio 2 RTM)
FM 96.3MHz (Radio 6 RTM - Kini Minnal FM)
FM 97.2MHz (Radio 3 Ibukota - Kini KL FM)
FM 98.3MHz (Radio 1 RTM)
FM 100.1MHz (Radio 4 RTM - Kini Traxx FM)
FM 100.9MHz (Radio 3 Shah Alam - Kini Selangor FM)
FM 106.7MHz (Radio 5 RTM - Kini Ai FM)
FM 107.5MHz (Radio 3 Kuantan - Kini Pahang FM)

Nah, berapa banyak saja stesen yang ada ketika itu. Situasi mula berubah dengan kehadiran THR (Time Highway Radio), radio swasta nasional komersil yang pertama pada bulan September 1994. Kawan-kawan di Johor Bahru lebih beruntung kerana selain menerima liputan radio nasional Malaysia, mereka turut mendapat limpahan isyarat radio dari Singapura dan Batam. Selain dari itu, Johor turut mempunyai stesen radio swasta mereka sendiri (Best 104 - Kini Best FM) yang beroperasi dari Johor Bahru.

Kebanyakan masa, saya lebih suka mendengar siaran berbahasa Inggeris, maka pilihan saya terhad kepada Radio 2 dan Radio 4. Ketika itu kedua-dua siaran ini belum beroperasi 24 jam sehari. 

Apa yang saya lakukan bagi memperbanyakkan pilihan stesen adalah dengan mendengar radio gelombang pendek (Shortwave - SW) - ketika itu saya mempunyai pilihan samada BBC World Service (6.195MHz) atau Gold 90.5 (6.155MHz kalau tak silap saya). Pengalaman mendengar radio SW adalah berbeza dari radio FM. Selain dari mutu bunyi yang kurang (mono sahaja, tiada stereo), ia turut mengalami artefak gangguan bunyi dan sering berbunyi dekat dan jauh bergantung kepada kekuatan isyarat yang turut bergantung kepada keadaan lapisan Ionosfera. Kini, stesen-stesen berkenaan turut boleh diikuti melalui streaming Internet, pada kualiti yang jauh lebih baik, di samping pilihan beribu-ribu stesen radio lain dari seluruh dunia.

Hobi mendengar radio turut bermakna saya mempunyai koleksi alat penerima siaran radio. Ketika itu, radio transistor yang dikuasakan bateri AA adalah amat popular dan jenama-jenama terkemuka seperti Sony, Panasonic dan Philips mengeluarkan model mereka yang tersendiri. Harga seunit biasanya di sekitar RM30; sekiranya anda tak kisah menggunakan jenama Taiwan/China yang saya dah lupa namanya, harganya sekitar separuh dari harga jenama terkemuka yang saya sebutkan tadi.

Zaman berubah kini, tetapi saya masih mendengarkan radio. Selain dari melalui streaming Internet, saya masih mempunyai koleksi alat penerima siaran radio, dan juga mendengar radio kereta ketika sedang memandu. Ya, masih dikuasakan oleh bateri AA. Cuma bezanya sekarang ini saya menggunakan bateri AA yang boleh dicas semula, dan penggunaan tenaga bateri oleh radio-radio sekarang jauh lebih efisien berbanding dulu (Seingat saya, dulu seminggu sekali bateri dah lemah dan perlu diganti semula).

Jenama-jenama penerima siaran radio yang ada di pasaran juga tidak seperti dahulu. Jenama-jenama entah apa-apa dari China mendominasi pasaran tempatan; jenama terkemuka sukar didapati dan kalau ada pun, tersangat mahal. Contohnya penerima Sony kini sampai hampir RM90 seunit!

Untuk lebih pilihan dan dari pengeluar terkemuka, Singapura adalah pilihan saya. Saya Kini mempunyai enam (6) radio - tiga (3) Sony yang dibeli di Singapura, satu (1) Panasonic juga dari sana, dan satu (1) Majority serta Silvercrest yang dibeli dari UK.

Nak buat apa banyak-banyak tu?

Entah. Koleksi. Hobi lah katakan. Haha.



Sunday, 26 May 2019

Refleksi Pra-Hari Raya

Diam tak diam, seminggu lebih sedikit saja lagi 1 Syawal akan menjelma. Ramai sedang buat persiapan mungkin - langsir baru, baju raya, kuih raya.

Hari Raya sebenarnya dah lama hilang makna pada saya. Ia tak lebih dari hari menyambut berakhirnya keperluan berpuasa sebulan, dan saya tak perlu lagi berlapar dan menahan dahaga - that's it. #inb4 apa ni liberal agama :-D

Dulu, sewaktu kecil, saya sangat menunggu Hari Raya. Balik kampung, dapat duit raya, main bunga api, tak perlu puasa lagi. Sekarang ni cuma yang terakhir tu, dan mungkin masa cuti panjang yang saya sangat tunggukan.

Mungkin kerana saya tak berkeluarga. Dan saya pun tak ada kawan rapat. Mungkin.

Beberapa raya kebelakangan ini pun saya menggunakan cuti hari raya untuk berjalan-jalan. Pernah sehingga ke Haadyai,menaiki kereta. Kali ini saya berhasrat nak berjalan-jalan menikmati pemandangan gunung dan mandi air terjun. Membawa hati dan membawa diri.

Anda bagaimana?

Tuesday, 21 May 2019

Refleksi

Lanjutan dari post saya tempohari, satu ulasan mengenai klip Sunyi oleh Penguasa Zakat Singapura.

Beberapa tahun dulu, semasa Dollar Singapura masih lagi berada dalam lingkungan nilai RM 2.50 - RM 2.70, saya kerap ke Singapura untuk berjalan-jalan menenangkan fikiran. Hiruk-pikuk, kelam-kabut hidup di Malaysia ni memerlukan saya bertenang di suatu tempat yang teratur serta secara amnya mengikut undang-undang; jika tidak, gila saya nanti.

Antara tempat yang takkan gagal saya kunjungi sewaktu berada di sana ialah gedung membeli-belah Mustafa Center yang terletak di Syed Alwi Road. 

Berhadapan dengan gedung ini ialah Masjid Angullia, yang menjadi tumpuan umat Islam menunaikan solat setiap kali masuk waktu. Saya turut tidak ketinggalan.

Setiap kali ke sana, saya pasti akan terjumpa seorang wanita berusia yang kerjanya membersihkan masjid berkenaan, dari mengelap lantai sehinggalah menyapu sampah. Setelah beberapa kali melihat makcik ini terbongkok-bongkok membersih lantai dan menyusun kasut pengunjung, saya memberanikan diri menegur. 

Dari situlah saya mengetahui makcik ini hidup seorang diri, tiada anak dan suaminya telah lama pergi - tidak berbeza dari apa yang diceritakan semula dalam klip "sunyi". Bezanya makcik ini mempunyai pendengaran yang baik. Dari beliau, saya mengetahui yang dia berasal dari Malaysia (Ampang, Selangor) dan berhijrah ke Singapura sekitar tahun 1978/9 (fuh, seumur saya tu bila dia berhijrah!) apabila berkahwin dengan orang sini (Singapura). Beliau kini sebatang kara di Singapura , tetapi menerima bantuan kewangan dan sewaan tempat tinggal yang ditaja oleh pihak Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Sebiji dengan cerita latar dalam "Sunyi". Tahniah pihak MUIS yang aktif membantu umat Islam yang memerlukan. Klip itu memang menceritakan realiti sebenar yang ditangani pihak mereka.

Cuma klip berkenaan, dan cerita makcik ini, membuatkan saya sedikit takut. Saya ni dah 40 tahun umur, dan masih berseorangan. Apakah nasib saya akan seperti wanita-wanita ini apabila lanjut usia nanti?

Entahlah.

Sejujurnya, saya berharap saya akan pergi dahulu sebelum perlu melalui kehidupan sebegitu, sekiranya saya ditakdirkan tiada jodoh.

Kehidupan ini sebenarnya, walaupun tidak lebih dari ilusi dan tipudaya, sebenarnya sangat menakutkan.

Sekian refleksi saya malam ini...

Monday, 20 May 2019

Ulasan: Lagu Suatu Pernah Oleh Fynn Jamal

Kira-kira empat tahun lalu, saya menonton satu telemovie "Cerekarama" TV3 di televisyen.

Ya, ya Sabtu malam dan bujang, dengan tiada benda yang lebih berfaedah nak dibuat, saya buka televisyen dan tengok saja apa yang terhidang.

Cerita bertajuk "Nesan", dan dibintangi antaranya oleh Nam Ron. Lakonannya cukup berkesan sebagai antagonis kepada protagonis utama. Si protagonis (saya lupa nama pelakonnya) mempunyai perniagaan kecil menghasilkan batu nesan yang ingin diwariskan kepada anak lelakinya yang enggan. Si antagonis ni pula menantu lelaki si protagonis yang sering menghabiskan wang dan berhasrat menjual tanah di mana protagonis ni menetap. Seperti kebanyakan cerita yang boleh diramalkan penghujungnya, si antagonis menerima pembalasan, dan protagonis meninggal dunia sambil dikesali anak lelakinya.

Ceritanya boleh tahan, lakonan Nam Ron sungguh berkesan sehingga menyumpah saya dibuatnya. Akan tetapi apa yang lebih menangkap perhatian saya ialah lagu latar yang dimainkan di penutup cerita.

Suatu Pernah
oleh Fynn Jamal. Ia menangkap, menggetar dan menusuk perasaan saya ketika itu. Dan sehingga hari ini.



Mainan pianonya, gesekan cellonya saja sudah cukup menggetar emosi dan perasaan. Dan liriknya...

Habis sudah madah
Tak ada satu pun yang tertinggal
Setiapnya telah kau ambil dan terus engkau jual
Seolah tak pernah memakna apa
Seolah tak pernah kau inginkannya
Seolah tak pernah

Dikutipku bila sudi
Di bila tidak dibiar mati
Dan lebih menyakitkan
Kutetap tunggu di tepi jalan
Seperti tak pernah ku ada harga
Seperti tak pernah kita bersama
Seperti tak pernah kau mahu aku
Tak pernah rindu
Tak pernah rayu
Dulu

Terlebur hancur kebal rusukku
Berkecai sepai terpecah belah
Terima kasih atas ajarmu
Cinta tak wujud
Ah tak pernah
Dan dengarkan jeritku
Jujur tak terfitnah
Kau hanya bagiku
Suatu yang pernah

Takkan ada apa
Yang mampu untuk buat kau pulang
Bila sudah tiada rasa
Bikinlah apa tetap kau terbang
Takkanku pujuk kau jangan pergi
Takkanku minta kau fikir lagi
Takkanku paksa renung semula
Takkanku suruh apa-apa
Takkanku izin tubuh dibuka
Takkanku pamer reput di dada
Takkanku lemah
Takkanku goyah
Takkanku biar tubuh didarah

Terlebur hancur kebal rusukku
Berkecai sepai terpecah belah
Terima kasih atas ajarmu
Cinta tak wujud
Ah tak pernah
Dan dengarkan jeritku
Jujur tak terfitnah
Kau hanya bagiku
Suatu yang pernah
Suatu yang pernah

Sejujurnya, sehingga sekarang ia mampu menyebabkan empangan airmata yang rapuh ini pecah. 

Fynn pernah berkata dia bukan penyanyi. Dia hanya pencerita.

Dia pemuisi. Dan bait puisi yang dilagukan itu benar-benar menyentap jiwa dan perasaan.

Mengapa?

Sepanjang hidup saya, saya sentiasa ditinggalkan orang. Kawan baik. Kawan sekerja. Keluarga. 

Semuanya saya pujuk. Saya cuba berikan yang terbaik. Tetapi tak pernah berkesan.

Terasa diri ini disampahkan. 

Saya hanya suatu pernah pada kebanyakan orang. Yang dicari bila diperlukan ("Dikutipku bila sudi"), dan ditinggalkan apabila berseronok ("Di bila tidak dibiar mati").

Rakan-rakan sekerja saya, yang kesemuanya lebih muda dari saya, banyak yang berhenti, meninggalkan saya keseorangan. Hampir kesemuanya saya pujuk agar menukar fikiran, namun tak berjaya. Dan apabila situasi ini berulang lagi dengan rakan sekerja yang baru saya kenali, saya bertekad untuk tidak berkata apa-apa setelah saya cuba serba sedikit untuk ubah fikiran mereka ("Takkan kupujuk kau jangan pergi, takkan kuminta kau fikir lagi, takkan kupaksa renung semula, takkan kusuruh apa-apa").

Rakan-rakan sebaya juga semua sudah bahagia dan sibuk dengan keluarga masing-masing. Tiada apa yang dapat atau ada apa aku harapkan dari mereka.

Pergilah, adik-adik, kawan-kawan.  Semoga kau berjumpa dengan kebahagiaan yang kau cari di tempat baru itu. Tinggalkanlah aku seorang di sini.

Lagu, rindu dan sepi


Aku baru saja mengenali satu lagu lama yang dah sewaktu umurnya denganku. 1979, beb. Melodi 70annya sungguh menggesek tali hati dan jiwa.

Berita Kepada Kawan” oleh Ebiet G. Ade.

Dengan liriknya yang menusuk kalbu, tema asalnya adalah berkenaan kerosakan alam sekitar.

Perjalanan ini terasa sangat menyedihkan
Sayang engkau tak duduk di sampingku, kawan
Banyak cerita yang mestinya kau saksikan
Di tanah kering bebatuan
Ho ho ho
Ho ho ho ho
Ho ho ho
Ho ho ho ho

Tubuhku terguncang dihempas batu jalanan
Hati tergetar menampak kering rerumputan
Perjalanan ini pun seperti jadi saksi
Gembala kecil menangis sedih

Kawan, coba dengar apa jawabnya
Ketika ia kutanya mengapa
Bapak-ibunya telah lama mati
Ditelan bencana tanah ini

Sesampainya di laut kukabarkan semuanya
Kepada karang, kepada ombak, kepada matahari
Tetapi semua diam, tetapi semua bisu
Tinggal aku sendiri terpaku menatap langit
Barangkali di sana ada jawabnya
Mengapa di tanahku terjadi bencana

Mungkin Tuhan mulai bosan melihat tingkah kita
Yang selalu salah dan bangga dengan dosa-dosa
Atau alam mulai enggan bersahabat dengan kita
Coba kita bertanya pada rumput yang bergoyang
Ho ho ho
Ho ho ho ho
Ho ho ho
Ho ho ho ho
Ho ho ho
Ho ho ho ho
Ho ho ho
Ho ho ho ho
Kawan, coba dengar apa jawabnya
Ketika ia kutanya mengapa
Bapak-ibunya telah lama mati
Ditelan bencana tanah ini
Sesampainya di laut kukabarkan semuanya
Kepada karang, kepada ombak, kepada matahari
Tetapi semua diam, tetapi semua bisu
Tinggal aku sendiri terpaku menatap langit
Barangkali di sana ada jawabnya
Mengapa di tanahku terjadi bencana
Mungkin Tuhan mulai bosan melihat tingkah kita
Yang selalu salah dan bangga dengan dosa-dosa
Atau alam mulai enggan bersahabat dengan kita
Coba kita bertanya pada rumput yang bergoyang
Ho ho ho
Ho ho ho ho
Ho ho ho
Ho ho ho ho
Ho ho ho
Ho ho ho ho
Ho ho ho
Ho ho ho ho


Perkaitan lagu ini bagiku pula lain sekali. Ia menggambarkan kerinduan pada sahabat yang telah meninggalkan diri, serta kehampaan yang berkaitan. Dan pada diriku, tidak ada yang lebih menggambarkan kesepian dan kerinduan ini dari pemandangan gunung-ganang.



Jika anda ada Spotify, lagu berkenaan boleh diakses di sini.

Ulasan: SUNYI oleh ZAKAT.SG


Beberapa hari yang lalu, Penguasa Zakat Singapura memuatnaik klip baharu mempromosi pembayaran zakat di masjid-masjid setempat di Singapura. Ia bertajuk "Sunyi".

Sekiranya anda dari jenis yang empangan airmatanya mudah pecah seperti saya, maka sediakanlah saputangan atau sekurang-kurangnya kertas tisu.

Objektif klip sepanjang kira-kira empat (4) minit ini, adalah untuk menunjukkan bagaimana bayaran zakat masyarakat dapat membantu mereka yang memerlukan.

#SpoilerAlert

Di sepanjang klip ini, muzik latar adalah lagu terbaharu nyanyian penyanyi dari Singapura, Amni Musfirah berjudul "Kau Tak Sendiri". Sikit punya tarik lagu ini pada jiwa yang sensitif seperti saya.

Ia bermula dengan menunjukkan seorang wanita berusia berseorangan menempuh hidup sehari-hari. Dia akan bangun awal - pada mulanya mengedarkan akhbar ke kedai-kedai; siang sedikit disambungnya memotong sayur-sayuran di kedai makan, sebelum diakhiri dengan mengemas dan membersih di sebuah medan selera. Makcik ini nampak kepenatan, dan seperti tidak memberi perhatian apabila dipanggil orang.

Apabila dia pulang ke rumah, dia berbaring berseorangan setelah mengutip kain baju di ampaian. Tiba-tiba beliau dikunjungi oleh seseorang yang membawa beliau kotak kecil beserta sampul surat tertera logo Penguasa Zakat Singapura.

Di dalam kotak berkenaan, terdapat alat bantuan pendengaran.

Ya, rupanya beliau kurang pendengaran; ini menjelaskan mengapa beliau seperti tidak peduli panggilan orang ketika bekerja waktu siangnya. Dengan menggunakan alat ini, beliau dapat mendengar rakaman suara arwah suaminya di pemain kaset radio.

Saat apabila nyanyian suaminya ditukar kembali ke lagu latar oleh Amni Musfirah adalah saat di mana airmata boleh mula tertumpah.

Mesej yang disampaikan dirumus dengan baik sekali di pernyataan yang dijelmakan di penghujung klip ini: "Zakat anda mengisi kesunyian mereka yang memerlukan". Get it?

Secara keseluruhannya, saya memberi penilaian 5 bintang pada klip ini. Meruntun hati, dan mesejnya sampai pada penonton dengan baik sekali. Lakonan makcik berkenaan (riak muka, gaya berjalan kaki yang lemah) adalah sangat-sangat asli (natural) dan tidak nampak dibuat-buat. Dan pilihan lagu Amni Musfirah berkenaan juga adalah tepat sekali. Tangkap leleh airmata dibuatnya.

Klip ini berkesan pada saya pada aras yang lain pula. Kisah kehidupan makcik ini yang bersendirian mirip hidup saya. Saya mengerti kesepian itu. Saya mengerti harapan itu. Dan saya mengerti kerinduan itu.

Bravo, Penguasa Zakat Singapura!

Nota: Pembuat klip ini berciap di Twitter melalui tweethandle @zai_zai_dani




Blog baharu : Satu Mukadimah

Jadi, inilah dia di tahun 2019.

Saya menghidupkan semula aktiviti berblog setelah sekian lama tidak aktif menulis panjang.

Di kala orang kebanyakan semuanya tertumpu di Facebook, Twitter dan Instagram.

Apa tujuannya?

Seperti dahulu, untuk meluahkan perasaan yang terbuku di hati. Di samping menulis dan merekod apa yang saya lalui, apa pendapat saya. Cuma mungkin di sini tiada tulisan tentang politik, tidak seperti ciapan saya di akaun Twitter.

Mengapa tidak?

Sejujurnya saya sudah penat bertekak pasal politik. Ia juga mengeluarkan sikap terburuk di antara kita, termasuk saya sendiri. Maka sudahlah. Saya hadkan pada Twitter saja. Di sana pun saya sudah kurang menciap pasal politik. Saya perlukan ruang baharu untuk menonjolkan, atau setidak-tidaknya, melihat diri saya dari sudut selain politik.

Lama dahulu ketika saya mula berblog, sekitar tahun 2004 - 2008, saya meluahkan segala yang terbuku di hati. Apabila kerjaya dan media sosial mula mengalih perhatian, saya berhenti dari menulis. Di tahun 2014, apabila saya mengalami depresi akibat hubungan saya dengan seseorang, saya kembali menulis di Wordpress untuk meluahkan perasaan; yang kemudiannya terhenti sekali lagi.


Sekarang, 5 tahun kemudian, saya tertekan lagi dek kerana pelbagai perkara. Menulis panjang ini sebenarnya bersifat terapeutik. Kali ini, saya akan cuba untuk konsisten menulis. Setidak-tidaknya, apabila saya sudah tiada nanti, saya berharap mereka yang menghampakan saya, akan dapat melihat saya dari sudut lain.

Eh apa saya mengarut ni anda faham tak? Hehe.


Mari berblog, dan selamat membaca!

Hujung negeri dan hujan

 Sahabatku,  Hujung minggu lepas, kugagahkan diriku untuk ke hujung negeri. Seperti janjiku padamu. Pada mulanya, aku agak ragu juga.  Renta...