Di zaman-zaman Internet ni, streaming lagu-lagu kegemaran melalui aplikasi seperti Joox dan Spotify menjadi pilihan ramai. Dengan keberadaan akses Internet yang murah mutakhir ini dan yuran langganan bulanan Spotify yang murah, ia menjadi pesaing serius pada media tradisional seperti radio.
Saya mempunyai langganan bulanan Spotify. Dengannya, saya mampu mendengar lagu-lagu kegemaran saya (yang tak banyak mana, dan sangat berlainan dari citarasa semasa yang mainstream atau popular) secara berulang ad nauseam sampai muntah kalau mahu.
Tetapi sebenarnya, masih tidak ada yang mampu mengatasi perasaan keseronokan yang dialami apabila lagu kegemaran kita dimainkan di corong radio.
Saya meminati radio sejak sedari kecil lagi. Apabila ayah saya membeli mini kompo untuk pertama kalinya di rumah, saya seoranglah yang conquer peralatan berkenaan. Balik sekolah dengar radio. Malam sebelum tidur dengar radio. Stesen radio kegemaran saya sewaktu itu ialah Radio 2 RTM (Kini Nasional FM), yang dipancarkan di Lembah Klang dari Gunung Ulu Kali menerusi frekuensi FM 95.3MHz. Waktu itu, pilihan stesen radio tidaklah sebanyak sekarang. Di Lembah Klang dan sebahagian besar negara cuma mempunyai liputan radio RTM saja. Dan waktu itu seingat saya cuma Radio 1 RTM (Kini Klasik Nasional) yang bersiaran selama 24 jam sehari. Punyalah minat mendengar radio sehingga saya hafal frekuensi radio, contohnya di Lembah Klang seperti di bawah. Kesemua frekuensi ini masih beroperasi sehingga ke hari ini:
FM 95.3MHz (Radio 2 RTM)
FM 96.3MHz (Radio 6 RTM - Kini Minnal FM)
FM 97.2MHz (Radio 3 Ibukota - Kini KL FM)
FM 98.3MHz (Radio 1 RTM)
FM 100.1MHz (Radio 4 RTM - Kini Traxx FM)
FM 100.9MHz (Radio 3 Shah Alam - Kini Selangor FM)
FM 106.7MHz (Radio 5 RTM - Kini Ai FM)
FM 107.5MHz (Radio 3 Kuantan - Kini Pahang FM)
Nah, berapa banyak saja stesen yang ada ketika itu. Situasi mula berubah dengan kehadiran THR (Time Highway Radio), radio swasta nasional komersil yang pertama pada bulan September 1994. Kawan-kawan di Johor Bahru lebih beruntung kerana selain menerima liputan radio nasional Malaysia, mereka turut mendapat limpahan isyarat radio dari Singapura dan Batam. Selain dari itu, Johor turut mempunyai stesen radio swasta mereka sendiri (Best 104 - Kini Best FM) yang beroperasi dari Johor Bahru.
Kebanyakan masa, saya lebih suka mendengar siaran berbahasa Inggeris, maka pilihan saya terhad kepada Radio 2 dan Radio 4. Ketika itu kedua-dua siaran ini belum beroperasi 24 jam sehari.
Apa yang saya lakukan bagi memperbanyakkan pilihan stesen adalah dengan mendengar radio gelombang pendek (Shortwave - SW) - ketika itu saya mempunyai pilihan samada BBC World Service (6.195MHz) atau Gold 90.5 (6.155MHz kalau tak silap saya). Pengalaman mendengar radio SW adalah berbeza dari radio FM. Selain dari mutu bunyi yang kurang (mono sahaja, tiada stereo), ia turut mengalami artefak gangguan bunyi dan sering berbunyi dekat dan jauh bergantung kepada kekuatan isyarat yang turut bergantung kepada keadaan lapisan Ionosfera. Kini, stesen-stesen berkenaan turut boleh diikuti melalui streaming Internet, pada kualiti yang jauh lebih baik, di samping pilihan beribu-ribu stesen radio lain dari seluruh dunia.
Hobi mendengar radio turut bermakna saya mempunyai koleksi alat penerima siaran radio. Ketika itu, radio transistor yang dikuasakan bateri AA adalah amat popular dan jenama-jenama terkemuka seperti Sony, Panasonic dan Philips mengeluarkan model mereka yang tersendiri. Harga seunit biasanya di sekitar RM30; sekiranya anda tak kisah menggunakan jenama Taiwan/China yang saya dah lupa namanya, harganya sekitar separuh dari harga jenama terkemuka yang saya sebutkan tadi.
Zaman berubah kini, tetapi saya masih mendengarkan radio. Selain dari melalui streaming Internet, saya masih mempunyai koleksi alat penerima siaran radio, dan juga mendengar radio kereta ketika sedang memandu. Ya, masih dikuasakan oleh bateri AA. Cuma bezanya sekarang ini saya menggunakan bateri AA yang boleh dicas semula, dan penggunaan tenaga bateri oleh radio-radio sekarang jauh lebih efisien berbanding dulu (Seingat saya, dulu seminggu sekali bateri dah lemah dan perlu diganti semula).
Jenama-jenama penerima siaran radio yang ada di pasaran juga tidak seperti dahulu. Jenama-jenama entah apa-apa dari China mendominasi pasaran tempatan; jenama terkemuka sukar didapati dan kalau ada pun, tersangat mahal. Contohnya penerima Sony kini sampai hampir RM90 seunit!
Untuk lebih pilihan dan dari pengeluar terkemuka, Singapura adalah pilihan saya. Saya Kini mempunyai enam (6) radio - tiga (3) Sony yang dibeli di Singapura, satu (1) Panasonic juga dari sana, dan satu (1) Majority serta Silvercrest yang dibeli dari UK.
Jenama-jenama penerima siaran radio yang ada di pasaran juga tidak seperti dahulu. Jenama-jenama entah apa-apa dari China mendominasi pasaran tempatan; jenama terkemuka sukar didapati dan kalau ada pun, tersangat mahal. Contohnya penerima Sony kini sampai hampir RM90 seunit!
Untuk lebih pilihan dan dari pengeluar terkemuka, Singapura adalah pilihan saya. Saya Kini mempunyai enam (6) radio - tiga (3) Sony yang dibeli di Singapura, satu (1) Panasonic juga dari sana, dan satu (1) Majority serta Silvercrest yang dibeli dari UK.
Nak buat apa banyak-banyak tu?
Entah. Koleksi. Hobi lah katakan. Haha.

