Aku seorang penggemar kari. Ayah aku dulu suka masak kari yang betul-betul pekat, boleh menjilat periuk dibuatnya. Kadang-kadang, apabila kari dah habis, kami akan tabur nasi dalam periuk berkenaan, dan gaulkan nasi supaya ia sebati "menangkap" sisa-sisa akhir kari yang tinggal. Makan dengan kicap - fuh, nikmat sekali. One of the small pleasures of life.
Terdapat pelbagai bentuk kari di pasaran bagi peminat-penggemar kari seperti aku. Ada dalam bentuk pes yang mudah untuk dimasak. Ada dalam bentuk sedia dimakan. Dan tidak kurang banyak juga jenama serbuk kari bagi mereka yang gemar memasak kari dari bentuk asas. Terdapat juga dari jenis hardcore yang membeli serta membuat rempah kari sendiri. Aku takdelah sampai peringkat akhir ni, tapi aku suka bereksperimen dengan jenama-jenama serbuk kari yang ada di pasaran.
Jenama yang ayah aku dah biasakan kami sekeluarga ialah jenama Baba's. Rempahnya memang kick dan terkenal di seluruh negara bersebab. Walau bagaimanapun sejak akhir-akhir ini aku banyak mencuba jenama lain dari industri-industri desa yang terletak di negeri-negeri lain. Di sini aku berhasrat berkongsi tiga (3) jenama serbuk kari yang aku suka dan padaku, berbaloi untuk ditonjolkan untuk dicuba.
Yang pertama, dan terbest padaku, ialah serbuk kari dengan nama yang sungguh blase sekali. Cap Daun Kari. Kalau disuruh memilih hanya satu jenama kari yang boleh aku syorkan, inilah dia. Serbuk ini dibuat oleh Ihsan & Sons Food Industries S/B. Kilangnya terletak di Perak Utara (Taiping), dan pasarannya buat masa ini terhad kepada utara semenanjung.
Jenama kedua ialah jenama Mahas
dari Melaka. Warnanya pun lain macam sikit, dan rasanya tidaklah
terlalu pedas - sesuai untuk penggemar makanan berempah yang tidak
terlalu pedas. Satu bahan yang agak pelik sedikit padaku - tak pernah
aku nampak dalam kari jenama lain - ialah serbuk beras goreng. Mungkin
inilah dia penyumbang warna dan rasa unik serbuk kari ini. Ia juga agak
murah - sepaket 100gm dengan ekstra 30gm aku dapati dari Kedai Eco
dengan harga RM2.10.
Dan yang terakhir adalah serbuk kari yang popular di kalangan orang Kelantan. Kilangnya pun terletak di Kelantan. Cap Orang Terbang. Sepaket besar mengandungi 4 paket kecil yang boleh didapati di Kedai ECO RM2.10. Yang ini rasanya boleh tahan, tapi mak aku kata ia tak berasa sangat.
Aku galakkan anda mencuba serbuk-serbuk kari ini. Manalah tahu, kena dengan citarasa. Selain dari sedap, apabila kita membeli barangan seperti serbuk kari buatan luarbandar ini, kita sebenarnya menggalakkan pertumbuhan ekonomi kawasan berkenaan, selain mengekalkan jika tidak mewujudkan peluang pekerjaan di sana. Tak perlulah mereka berhijrah jauh ke Lembah Klang misalnya, dan kemakmuran ekonomi negara sedikit sebanyak dapat diratakan taburannya ke seluruh negara...




No comments:
Post a Comment