Thursday, 25 July 2019

Nasib

Aku selalu rasa diriku ini tidak bernasib baik.

Selalu mendapat the short end of the stick, kata orang.

Semasa aku bersekolah tadika dulu, cikgu kelas kami ada memberi kami lollipop secara baling dan tangkap. Aku tak dapat satu pun, dan apabila lollipop di tangannya habis, aku seorang saja yang tak dapat apa-apa. Balik rumah aku menangis dan mengadu pada ayah ibu; penjelasan yang mereka dapat ialah kebetulan tak cukup satu lollipop pada hari berkenaan.

Selepas SPM, aku mendaftar diri untuk program A-Level di Kolej MARA Banting (KMB). Sekiranya pencapaianku baik, selepas dua tahun, aku berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara (UK). Alhamdulillah, keputusan semester 1 (dari 4) ku agak baik dan antara nama yang disebut pengetua. Seperti biasa, kusangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari (walaupun dalam keadaan cuaca panas sekarang ini, hujanlah 24 jam sehari pun, tak mengapa!). Disebabkan kegawatan ekonomi yang melanda negara pada tahun 1997, program A-Level berkenaan ditamatkan sewaktu aku baru memulakan semester 2. Aku beserta kira-kira 300 lagi overseas hopefuls dari KMB dihantar ke universiti tempatan. Maka berkuburlah impianku untuk ke UK. Malang.

Pernah terjadi satu ketika di sebuah bank yang mempunyai 5 mesin ATM, hanya dua bekerja (biasalah Malaysia, nothing ever works). Dan seperti biasa, berderet orang beratur di kedua-duanya. Aku sertai salah satu. Tiba-tiba datang seorang mamat dari mana entah, menghampiri dan menggunakan salah satu dari tiga mesin yang kononnya rosak. Eh, OK pulak dia boleh keluarkan duit. Aku pun pergilah ke mesin yang sama, dan...mesin berkenaan tak boleh pakai.

Masih lagi kisah di ATM, di sebuah bank lain pula. Transaksi pengeluaran diterima dan dalam pada mesin berkenaan berbunyi bersedia untuk mengeluarkan wang, tiba-tiba keluar pada paparan, "Windows is shutting down..." dan mesin berkenaan terus mati tanpa aku mendapat wang. Apabila kusemak di ATM lain, jumlah berkenaan sudah dipotong dari akaun. Dua minggu selepas mengadu pada bank dan membuat beberapa panggilan telefon, barulah kudapat semula wang berkenaan. Dah lah duit berkenaan merupakan perbelanjaan seminggu. Menggagau juga aku dibuatnya.

Tahun lepas pula aku dapati gaji bulananku dipotong oleh LHDN kerana jumlah PCB yang dipotong kurang dari sepatutnya, walhal menurut borang EA, aku telah membayar lebih. Rupa-rupanya majikanku silap membuat potongan tetapi menyatakan jumlah yang lebih besar di borang berkenaan. Tiga bulan gajiku menjadi kurang, dan lari jugaklah belanjawan. Semakan dengan pihak HR majikan mendapati hanya aku seorang saja jadi mangsa kesilapan berkenaan. Haish.

Dan dua minggu lepas aku menempah secara dalam talian satu unit kamera aksi GoPro. Lebih RM2,000 melayang (hutang kad plastik, hokeh). Sebaik tiba, aku mendapati skrin sesentuhnya rosak (mempunyai garisan-garisan putih yang menari). Penjual asal dari Johor Bahru itu banyak alasan cengkadaknya bila kuadukan; katanya berbulan baru boleh dapat balik, katanya defek berkenaan adalah normal. Aku membuat RMA dengan pihak GoPro secara terus dan diterima. Dua hari lepas gantian baru tiba, dan baru saja aku hendak masukkan bateri dan kad memori, kudapati pintu ruang baterinya tidak boleh ditutup dengan betul (tidak sangkut pada ruang tuil batang yang memusingkan pintu). Ini menjejaskan ketidaktelapan air peranti berkenaan. Sekali lagi aku utarakan RMA dengan pihak GoPro, dan aku sedang menantikan gantinya. Sementara itu minatku pada kamera aksi menjadi pudar. Kalau kutahu begini, baik kubeli drone saja itu hari.

Bukan senang bersangka baik dengan Tuhan dalam keadaan begini. Apatah lagi bila kerap kena, dari sebesar-besar sehingga ke sekecil-kecil ujian. Aku hanya mampu mengurut dada; lebih-lebih pun cuma membebel sendiri. Inilah sebabnya aku kelihatan seperti seorang yang suka complain - apabila kita dah selalu dan penat menjadi mangsa, takkan nak duduk diam saja kan?

Haih. Sabar saja lah.



No comments:

Post a Comment

Hujung negeri dan hujan

 Sahabatku,  Hujung minggu lepas, kugagahkan diriku untuk ke hujung negeri. Seperti janjiku padamu. Pada mulanya, aku agak ragu juga.  Renta...