Lanjutan dari post saya tempohari, satu ulasan mengenai klip Sunyi oleh Penguasa Zakat Singapura.
Beberapa tahun dulu, semasa Dollar Singapura masih lagi berada dalam lingkungan nilai RM 2.50 - RM 2.70, saya kerap ke Singapura untuk berjalan-jalan menenangkan fikiran. Hiruk-pikuk, kelam-kabut hidup di Malaysia ni memerlukan saya bertenang di suatu tempat yang teratur serta secara amnya mengikut undang-undang; jika tidak, gila saya nanti.
Antara tempat yang takkan gagal saya kunjungi sewaktu berada di sana ialah gedung membeli-belah Mustafa Center yang terletak di Syed Alwi Road.
Berhadapan dengan gedung ini ialah Masjid Angullia, yang menjadi tumpuan umat Islam menunaikan solat setiap kali masuk waktu. Saya turut tidak ketinggalan.
Setiap kali ke sana, saya pasti akan terjumpa seorang wanita berusia yang kerjanya membersihkan masjid berkenaan, dari mengelap lantai sehinggalah menyapu sampah. Setelah beberapa kali melihat makcik ini terbongkok-bongkok membersih lantai dan menyusun kasut pengunjung, saya memberanikan diri menegur.
Dari situlah saya mengetahui makcik ini hidup seorang diri, tiada anak dan suaminya telah lama pergi - tidak berbeza dari apa yang diceritakan semula dalam klip "sunyi". Bezanya makcik ini mempunyai pendengaran yang baik. Dari beliau, saya mengetahui yang dia berasal dari Malaysia (Ampang, Selangor) dan berhijrah ke Singapura sekitar tahun 1978/9 (fuh, seumur saya tu bila dia berhijrah!) apabila berkahwin dengan orang sini (Singapura). Beliau kini sebatang kara di Singapura , tetapi menerima bantuan kewangan dan sewaan tempat tinggal yang ditaja oleh pihak Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
Sebiji dengan cerita latar dalam "Sunyi". Tahniah pihak MUIS yang aktif membantu umat Islam yang memerlukan. Klip itu memang menceritakan realiti sebenar yang ditangani pihak mereka.
Cuma klip berkenaan, dan cerita makcik ini, membuatkan saya sedikit takut. Saya ni dah 40 tahun umur, dan masih berseorangan. Apakah nasib saya akan seperti wanita-wanita ini apabila lanjut usia nanti?
Entahlah.
Sejujurnya, saya berharap saya akan pergi dahulu sebelum perlu melalui kehidupan sebegitu, sekiranya saya ditakdirkan tiada jodoh.
Kehidupan ini sebenarnya, walaupun tidak lebih dari ilusi dan tipudaya, sebenarnya sangat menakutkan.
Kehidupan ini sebenarnya, walaupun tidak lebih dari ilusi dan tipudaya, sebenarnya sangat menakutkan.
Sekian refleksi saya malam ini...
No comments:
Post a Comment