Beberapa hari yang lalu, Penguasa Zakat Singapura memuatnaik klip baharu mempromosi pembayaran zakat di masjid-masjid setempat di Singapura. Ia bertajuk "Sunyi".
Sekiranya anda dari jenis yang empangan airmatanya mudah pecah seperti saya, maka sediakanlah saputangan atau sekurang-kurangnya kertas tisu.
Objektif klip sepanjang kira-kira empat (4) minit ini, adalah untuk menunjukkan bagaimana bayaran zakat masyarakat dapat membantu mereka yang memerlukan.
#SpoilerAlert
Di sepanjang klip ini, muzik latar adalah lagu terbaharu nyanyian penyanyi dari Singapura, Amni Musfirah berjudul "Kau Tak Sendiri". Sikit punya tarik lagu ini pada jiwa yang sensitif seperti saya.
Ia bermula dengan menunjukkan seorang wanita berusia berseorangan menempuh hidup sehari-hari. Dia akan bangun awal - pada mulanya mengedarkan akhbar ke kedai-kedai; siang sedikit disambungnya memotong sayur-sayuran di kedai makan, sebelum diakhiri dengan mengemas dan membersih di sebuah medan selera. Makcik ini nampak kepenatan, dan seperti tidak memberi perhatian apabila dipanggil orang.
Apabila dia pulang ke rumah, dia berbaring berseorangan setelah mengutip kain baju di ampaian. Tiba-tiba beliau dikunjungi oleh seseorang yang membawa beliau kotak kecil beserta sampul surat tertera logo Penguasa Zakat Singapura.
Di dalam kotak berkenaan, terdapat alat bantuan pendengaran.
Ya, rupanya beliau kurang pendengaran; ini menjelaskan mengapa beliau seperti tidak peduli panggilan orang ketika bekerja waktu siangnya. Dengan menggunakan alat ini, beliau dapat mendengar rakaman suara arwah suaminya di pemain kaset radio.
Saat apabila nyanyian suaminya ditukar kembali ke lagu latar oleh Amni Musfirah adalah saat di mana airmata boleh mula tertumpah.
Mesej yang disampaikan dirumus dengan baik sekali di pernyataan yang dijelmakan di penghujung klip ini: "Zakat anda mengisi kesunyian mereka yang memerlukan". Get it?
Secara keseluruhannya, saya memberi penilaian 5 bintang pada klip ini. Meruntun hati, dan mesejnya sampai pada penonton dengan baik sekali. Lakonan makcik berkenaan (riak muka, gaya berjalan kaki yang lemah) adalah sangat-sangat asli (natural) dan tidak nampak dibuat-buat. Dan pilihan lagu Amni Musfirah berkenaan juga adalah tepat sekali. Tangkap leleh airmata dibuatnya.
Klip ini berkesan pada saya pada aras yang lain pula. Kisah kehidupan makcik ini yang bersendirian mirip hidup saya. Saya mengerti kesepian itu. Saya mengerti harapan itu. Dan saya mengerti kerinduan itu.
Bravo, Penguasa Zakat Singapura!
Nota: Pembuat klip ini berciap di Twitter melalui tweethandle @zai_zai_dani
No comments:
Post a Comment